Peristiwa

Tuesday, June 17, 2014

1.2.Masyarakat Agraria Belanda dan China

1.2.Masyarakat Agraria ( Belanda Dan China)

Konsep/Definisi Agraria

Masyarakat agraria merupakan masyarakat yang menjalankan kegiatan ekonomi berasaskan kepada pertanian iaitu bercucuk tanam dan menternak binatang. Jenis-jenis tanaman utama ialah padi sawah, padi huma, ubi taro, dan keladi; tanaman bijirin pula ialah gandum, barli, oat, kubis, kekacang dan sebagainya. Selain itu, masyarakat juga menjalankan aktiviti berburu, mengutip hasil hutan dan menangkap ikan pada peringkat awal. Penempatan mereka terbentuk di sekitar kawasan yang subur seperti lembah-lembah sungai, kawasan berbukit, serta kawasan yang mempunyai sistem saliran yang baik. Mereka juga mempunyai kemahiran menghasilkan makanan sendiri dengan pertanian pindah sehingga mengusahakan pertanian tetap. Pada masa yang sama masyarakat agraria mempunyai hubungan dengan masyarakat maritim dan saling bergantungan.Masyarakat agraria di China menjalankan kegiatannnya atas arahan golongan pembesar.

Manakala di Eropah telah berlaku perubahan politik dan ekonomi yang pesat terutama selepas keruntuhan sistem feudal sehingga telah terbentuk beberapa buah negara bangsa yang baru seperti Portugal, Sepanyol, England dan Belanda. Pentadbiran berpusat ini telah dikuasai oleh raja yang berkuasa mutlak dan pentadbiran ini telah membolehkan kerajaan menyeragamkan sistem pemerintahan. Penyeragaman pentadbiran ini telah memberi kesan yang besar kepada sistem ekonomi yang dijalankan.

Pada abad ke-16 dan 17, negara Belanda dan China mengamalkan ekonomi mekantilisme iaitu kerajaan akan campur tangan dalam kegiatan ekonomi bagi tujuan mengukuhkan lagi kekuasaan politik dan kekayaan negara. Campur tangan kerajaan ini dapat memastikan perkembangan ekonomi selaras matlamat kerajaan.

Terdapat beberapa unsur di dalam pengamalan ekonomi mekantilisme yang dijalankan oleh negara Belanda dan China seperti unsur nasionalisme, paternalisme dan imperialsme. Bagi negara Belanda masyarakatnya mengamalkan unsur paternalisme dan imperialisme. Manakala negara China pula mengamalkan unsur nasionalisme dan paternalisme.

Unsur nasionalisme merupakan sesebuah negara atau masyarakat menjalankan ekonomi yang kendiri iaitu tidak bergantung kepada negara lain untuk memenuhi keperluannya. Unsur paternalisme pula memperlihatkan kerajaan memainkan peranan penting dalam mengatur kegiatan ekonomi, sosial dan politik. Manakala unsur imperialisme sangat penting dalam ekonomi mekantalisme iaitu negara tersebut perlu mempunyai tanah jajahan diseberang laut yang mampu memenuhi keperluan dalam negara. Dengan mempunyai unsur-unsur inilah maka negara Belanda dan China dapat memperkembangkan ekonomi agraria sepanjang abad ke-16 dan 17

 

 

MASYARAKAT AGRARIA DI BELANDA



1. Ekonomi negara Belanda mula berlaku perkembangan terutama selepas Belanda berjaya bebas daripada cengkaman kuasa Sepanyol pada tahun 1585. Taraf hidup masyarakat Belanda semakin meningkat apabila berlaku revolusi pertanian dan revolusi perkapalan telah menjadikan Belanda sebagai kuasa perdagangan di Eropah serta menjadikan pelabuhan Amsterdam sebagai pelabuhan yang sibuk pada abad ke-16 dan 17.

2. Masyarakat petani terutama disebelah utara Belanda telah mengusahakan kegiatan pertanian secara kecil kecilan dan secara sistem pertanian padang terbuka. Hasil pertanian ini untuk pasaran tempatan di bandar-bandar negara Belanda sahaja.

3. Dalam sistem ini, tanah pertanian dibahagi kepada bidang tanah iaitu setiap bidang tanah dibahagi kepada beberapa lajur tanah secara memanjang untuk diusahakan oleh petani. Petani hanya akan mengusahakan beberapa bidang tanah sahaja dan sebidang lagi akan dibiarkan kosong atau tanah rang sahaja untuk mengembalikan kesuburan tanah bagi musim akan datang.
4. Pada abad ke-17, revolusi pertanian yang berlaku telah mendorong pertambahan tanah pertanian kepada 36 ribu ekar sekitar tahun 1590 hingga tahun 1615, begitu juga dengan masyarakat petani dan penggunaan kuda dalam pertanian turut bertambah. Kegiatan dan pengeluran hasil pertanian semakin meningkat apabila kerajaan Belanda berjaya menambak laut untuk dijadikan kawasan pertanian. Penggunaan teknologi kincir angin semakin merancakkan lagi kegiatan pertanian di Belanda kerana kawasan tanah tinggi boleh disalurkan air untuk pertanian.
5. Masyarakat agraria Belanda menggunakan kaedah tanaman giliran antara tanaman ubi-ubian, kekacang dan bijirin. Kaedah ini akan mengembalikan kesuburan tanah dan meningkatkan lagi hasil pengeluaran pertanian. Tumpuan utama masyarakat agraria Belanda ialah tanaman bijirin seperti gamdum, barli, oat yang menjadi sumber utama Belanda. Tanaman lain pula yang diusahakan ialah kobis, kekacang, jagung dan bunga-bungaan. Hasil-hasil ini akan dieksport keluar negara.

6. Selain itu, masyarakat agraria Belanda juga mengusahakan kegiatan penternakan binatang terutama lembu tenusu untuk pengeluaran hasil tenusu. Belanda telah menjadi pusat utama penternakan lembu ini. Lembu-lembu daging pula diternak untuk disembelih dan dieksport ke kawasan lain di Belanda antara tahun 1500 hingga tahun 1660.

7. Masyarakat agraria Belanda di desa turut mengusahakan industri tekstil terutama di Flanders dan Brabant. Mereka mengeluarkan pakaian berasaskan kain bulu dan linen. Masyarakat di bandar pula, menggunakan mesin untuk mewarnakan dan memutihkan kain kemudian dipasarkan sehingga tahun 1568.

8. Pada abad ke-17, industri tekstil di Leiden semakin berkembang terutama dalam pengeluaran kain-kain jenis woolen, says, fustians dan camlets. Perkara ini telah mendorong pertambahan pengeluaran kain sehingga meningkat sebanyak 130 ribu pada tahun 1660-an. Selain Leiden, Haarlem telah menjadi bandar pengeluran kain linen utama untuk dipasarkan ke Eropah.

9. Hampir 1/5 masyarakat agraria Belanda telah mengusahakan kegiatan menangkap ikan terutama di kawasan Holland dan Zealand merupakan perairan yang kaya dengan ikan herring berkualiti tinggi. Pada abad ke-17, masyarakat Belanda telah menangkap ikan dari Laut Utara hingga ke Selat Inggeris dengan menggunakan kapal-kapal yang bersaiz besar sehingga menjangkau 30 tan beratnya. Mereka berjaya mengatasi nelayan Jerman untuk menguasai pasaran ikan di kawasan Baltik. Mereka akan berada di laut selama 8 minggu dengan anak kapal antara 10 hingga 15 orang.

10. Masyarakat agraria Belanda juga terkenal dalam industri pembinaan kapal yang terbaik di Eropah iaitu bermutu tinggi, tahan lasak, dan boleh memuatkan muatan yang lebih. Industri ini telah mendapat kepercayaan masyarakat pedagang di Eropah pada abad ke-17. Sekitar tahun 1630-an, Belanda telah berjaya membina 2 500 buah kapal dan separuhnya untuk kegunaan di Eropah seperti negara England, Perancis dan Sepanyol. Perkembangan industri perkapalan ini telah mendorong perkembangan perdagangan Belanda terutama pada tahun 1648.

11. Kapal-kapal Belanda telah digunakan untuk mengangkut gandum dan barli dari Poland dan Timur Prusia, seterusnya ke Perancis, Sepanyol dan Mediterranean. Kapal-kapal ini juga turut digunakan untuk mengangkut besi dari Sweden dan barangan perdagangan dari Rusia, Timur Hindia, Brazil, Jepun, Asia Tenggara dan Kepulauan Barat Afrika. Perkembangan ini membolehkan Belanda menguasai perdagangan Eropah pada abad ke-16.

12. Pada abad ke ke-16, hubungan antara pelabuhan Antwerp di Belanda dengan pelabuhan Lisbon di Portugal amat rapat. Apabila pelabuhan Antwerp jatuh ke tangan Sepanyol pada tahun 1585, aktiviti perdagangan telah berpindah ke pelabuhan Amsterdam dan telah muncul sebagai pusat perdagangan yang baru. Akibat pemberontakan oleh orang Belanda di bahagian utara telah mendorong Raja Phillip II menutup pelabuhan Lisbon dan menghalang kapal-kapal dari Belanda memasuki pelabuhan Lisbon.

13. Keadaan ini telah menyebabkan pedagang-pedagang Belanda mencari sendiri barangan mereka sehingga mendorong Belanda menawan Kepulauan Rempah di Asia Tenggara. Tujuan Belanda bertindak demikian untuk menguasai perdagangan di Timur, menghapuskan monopoli Portugal dan Sepanyol, mengumpul kewangan untuk menentang kekuasaan Sepanyol di Belanda dan menawan pusat perdagangan Portugal di Timur.

14. Pada tahun 1596, Belanda di ketuai oleh De Houtman telah sampai ke pelabuhan Bantam yang kaya dengan lada hitam, kemudian singgah di Jakarta, Pulau Madura, Bali dan kembali semula ke Amsterdam pada tahun 1597.

15. Pada tahun 1598, 22 buah kapal dari Belanda menuju ke Timur dan telah meningkat kepada 60 buah kapal menuju ke Kepulauan Rempah di Timur antara tahun 1595 hingga tahun 1601. Mereka telah mengadakan perjanjian dengan pemerintah tempatan di Kepulauan Rempah di Asia Tenggara dengan memberi perlindungan kepada pemerintah tempatan seperti dengan Pulau Ambon (1600) dan Pulau Banda (1602). Sebagai balasan Belanda dapat memonopoli perdagangan buah pala.

16. Bagi menjamin dan mengukuhkan kedudukan Belanda di Kepulauan Rempah ini, maka pada tahun 1602, parlimen Belanda bersetuju menubuhkan Syarikat Hindia Timur Belanda atau Vereenigde Oostindische Compagine (VOC). Dengan bermodal sebanyak 6½ juta guilder. Pengusaaan ini telah membolehkan Belanda mengawal sepenuhnya perdagangan import seperti lada hitam, bunga cengkih, buah pala, kulit kayu manis dan bunga lawang di Eropah. Pada tahun 1690, VOC telah memperkenalkan tanaman kopi di Jawa setelah berjaya dalam tanaman rempah.

17. Pada awal abad ke-17, usahawan atau pemodal Belanda yang berjaya telah menceburi perniagaan insuran dan perdagangan mata wang asing serta turut memberi pinjaman kepada negara Denmark, Austria dan Sepanyol. Sebagai contoh, usahawan atau pemodal Nouis de Geer telah mengusahakan kilang senjata di Sweden dan ada usahawan Belanda memonopoli perdagangan eksport di Rusia.

18. Bank Amsterdam adalah bank yang paling berjaya di Eropah iaitu antara tahun 1611 hingga tahun 1701, deposit Bank Amsterdam meningkat daripada 1 juta florin kepada 16 juta florin. Perkembangan perdagangan luar negara, industri dan pertanian di Belanda telah menarik kedatangan pedagang luar dan tempat ke Amsterdam pada tahun 1609. Perkembangan dan pengukuhan perdagangan dan mata wang telah meningkatkan perdagangan antarabangsa di Amsterdam.

19. Penubuhan bank dan badan kewangan yang lain telah meningkatkan urusan perdagangan seperti Bank Amsterdam. Penubuhan bank ini telah memudahkan lagi pemindahan wang dan pinjaman kepada pedagang sebagai pelaburan jangka panjang. Keadaan ini telah meningkatkan keupayaan pelabuhan Amsterdam dalam perdagangan antarabangsa. Kerajaan Belanda telah berusaha menaik taraf pelabuhan Amsterdam seperti mendalamkan lagi pelabuhan Amsterdam, menyediakan lebih banyak gudang menyimpan barang dagangan, menyediakan kemudahan asas lain dan menghubungan pelabuhan dengan jalan darat yang lain.

20. Usaha kerajaan Belanda ini telah memberi peluangan pekerjaan kepada masyarakat tempatan dan ekonomi Belanda juga mencapai tahap kegemilangannya pada abad ke-17.


MASYARAKAT AGRARIA DI CHINA

1. Negara China mempunyai keluasan hampir 9.6 juta km persegi tetapi tanah yang sesuai untuk kegiatan pertanian hanyalah 15% sahaja. Kawasan lain terdiri daripada pergunungan dan gurun di sebelah barat dan utara China. Negara China juga sebahagian besarnya berada dalam kawasan hawa sederhana mengalami perubahan iklim dari kawasan tropika ke kawasan sejuk. Walaupun berkeadaan demikian, negara China masih lagi mampu mengeluarkan makanan daripada perlbagai jenis tanaman untuk kegunaan masyarakat dan untuk dieksport ke negara luar.

2. Pada zaman pemerintahan Dinasti Ming dan Qing, negara China masih dipanggil masyarakat agraria iaitu meliputi 85% daripada keseluruhan penduduk dan tinggal di desa. Masyarakat agraria China tertumpu di kawasan timur laut China dengan Mongolia. Kawasan ini mempunyai dataran loes yang subur disepanjang Sungai Kuning. Di sebelah selatan pula terdapat pula Sungai Yangtze (sungai terbesar di China) yang banyak memberi sumbangan kepada masyarakat agraria di China.

3. Tanah di negara China semua dimiliki oleh maharaja dan dikurniakan kepada golongan bangsawan atau pembesar (tuan tanah). Tanah merupakan satu aset yang amat berharga yang dapat menentukan status sosial seseorang itu. Tuan-tuan tanah ini akan memberikan kepada golongan rakyat masyarakat agraria untuk diusahakan.

4. Tanah ini akan diusahakan dari satu generasi ke satu generasi secara bersama dan tidak mengutamakan hak individu. Masyarakat agraria China mengusahakan tanah pertanian secara tradisional dengan menggunakan peralatan lama dan najis binatang untuk menyuburkan tanah. Namum, hasil yang diperolehi masih cukup untuk menampung keperluan harian mereka tetapi tidak dapat menyimpan.

5. Walaupun negara China mempunyai tanah yang subur dan masyarakat agrarianya cekap bercucuk tanam, namum mereka masih hidup dibelenggu dengan kemiskinan.

6. Tanaman utama yang diusahakan oleh masyarakat agraria di China ialah padi sawah yang banyak ditanam di kawasan lembah Sungai Yangtze dan Sungai Kuning. Tanaman lain turut diusahakan seperti menanam kapas, tebu, teh, gandum, barli, sekoi dan bijirin lain. Masyarakat China yang tinggal di tanah tinggi Utara China, mereka menanam padi huma, sekoi dan kekacang terutama di sekitar Sungai Heilongjiang.

7. Masyarakat agraria China mula mengalami perubahan di zaman Dinasti Ming apabila wujudnya hubungan luar dengan negara-negara luar seperti selatan India, Sri Lanka, Hormuz, dan persisir pantai timur Afrika. Hubungan ini telah meningkatkan aktiviti perdagangan China dengan pedagang-pedagang dari luar terutama di pelabuhan Canton.

8. Kedatangan pedagang luar ini telah menyebabkan negara China menerima pelbagai aspek dari tamadun luar. Perkara ini secara langsung telah membawa banyak perubahan dalam bidang pertanian dan ini akan meningkatkan lagi ekonomi negara China. Seterusnya, membolehkan negara China menikmati kemakmuran dan kekayaan dalam pertambahan penduduk dan bidang pertanian.

9. Semasa pemerintahan Dinasti Ming, China telah berusaha untuk meningkatkan hasil pertanian mereka dengan memperkenalkan sistem pengairan, mengamalkan tanaman giliran mengikut musim, memperkenalkan peralatan pertanian yang baru, meningkatkan keluasan kawasan pertanian dan penggunaan baja.

10. Penanaman padi jenis baru telah diperkenalkan dari selatan Vietnam yang boleh ditanam dua kali setahun dan tidak memerlukan air yang banyak. Ini telah memboleh padi ini di tanam di kawan tanah tinggi yang kekurangan air. Tanaman baru yang lain turut diperkenalkan seperti tanaman kekacang, ubi kentang manis, barli dan jagung yang dibawa dari Asia Barat. Tanaman baru ini telah meningkatkan lagi hasil pengeluaran pertanian masyarakat agraria.

11. Masyarakat agraria China mengamal pengkhususan dalam pengeluaran barangan mengikut daerah atau kawasan seperti tebu dikeluarkan di daerah Kwangtung, Fukien dan Szechwan; teh dan daun mulberry untuk makanan ulat sutera di Chekiang dan selatan Kingsu; kapas di Kinagsu dan daerah utara; perlombongan di Yunnan; perusahaan kain kapas, kain sutera, dan pakaian diusahakan oleh petani di Kiangnan, dan hasil hutan (kayu balak) di Manchuria.
12. Seterusnya negara China semakin berkembang ekonominya terutama dalam pembuatan porselin, pembuatan kertas, sutera dan kapas di bandar Nanjing dan Beijing.

13. Industri porselin memberi sumbangan dalam pendapatan negara China dan bandar Kiangsi muncul sebagai pusat pengeluran porselin utama. Soochow pula sebagai bandar pusat industri tekstil dan Sungkiang menjadi pusat pengeluran kain kapas. Tanaman kapas menjadi tanaman penting di zaman Dinasti Ming. Industri kraf tangan dan tenunan turut menyumbang kepada ekonomi masyarakat agraria di China.

14. Semasa pemerintahan Dinasti Ching (1644-1911), kerajaan China hanya membiarkan ekonomi berada di tangan golongan bangsawan. Golongan ini hanya mengawasi sistem pao-chia (tanggungjawab kolektif) untuk mengawal kaum petani. Manakala di zaman Kang-hsi, ekonomi China berlaku pemulihan dan hasil pengeluaran pertanian bertambah. Sebagai contoh pada tahun 1661, kawasan pertanian seluas 549 juta ekar (mu) meningkat kepada 724 juta ekar (mu) pada tahun 1725 dan 781 ekar pada tahun 1766.

15. Masyarakat agraria China juga turut menjalankan kegiatan perusahaan pertukangan secara perkongsian modal dan tanggungjawab untuk memajukan perusahaan ini. Mereka akan bergabung mengikut wilayah menjadi satu kesatuan peniaga yang akan disertai oleh kesatuan peniaga, kesatuan penenun, kesatuan peniaga bank, kesatuan peniaga pakaian, dan kesatuan peniaga emas. Persatuan berperanan sebagai badan yang akan mengawal harga barangan, menatapkan nilai barangan, dan menyelesaikan segala masalah atau pertikaian antara ahli-ahli persatuan.

16. Masyarakat agraria China turut menjalankan ekonomi perdagangan walaupun kegiatan ini dianggap hina dan rendah tarafnya di negara China. Namum kegiatan ini sebenarnya memberi pulangan yang cukup besar kepada negara dan masyarakatnya.

17. Aktiviti perdagangan berkembang dengan baik kerana adanya sistem pengangkutan yang baik iaitu sungai sebagai jalan perhubungan yang utama seperti Sungai Yangtze, Sungai Peiho dan Sungai Kuning. Manakala terusan turut dibina untuk merancakkan lagi aktiviti perdagangan seperti Terusan Besar (menganjur dari Peking ke Hangchow di selatan Sungai Yangtze) dan terusan-terusan kecil di bahagian tengah dan selatan China. Sistem perhubungan darat masih primitif iaitu masyarakat masih menggunakan unta dan keldai sebagai pengangkutan utamanya.

18. Aktiviti perdagangan China bukan hanya tertumpu kepada perdagangan dalam negara dan kawasan Asia sahaja tetapi turut berlaku dengan pedagang dari negara Barat terutama di abad ke-16 dan 17. Kekayaan negara China dengan hasil perlombongan arang batu, besi, tembaga, bijih timah, timah hitam, antimoni dan perak telah menarik ramai pedagang dari Barat ini. Pada abad ke-16, pedagang dari Portugal, Sepanyol, Belanda, Rusia dan British telah mula berdagang dengan China.

19. Pada tahun 1532, aktiviti perdagangan dengan pedagang Portugal telah bermula di pelabuhan Macau dan dibenarkan berdagang di Canton pada masa-masa tertentu sahaja dengan dipantau ketat oleh pembesar China. Melalui aktiviti perdagangan ini China dapat membeli barangan perak dari Portugal dan pedagang Portugal pula membeli sutera untuk dibawa ke Eropah.

20. Pada tahun 1575, pedagang Sepanyol telah tiba di China dan diikuti boleh pedagang Belanda pada tahun 1604. Rusia pula telah menghantar wakilnya untuk menjalinkan hubungan perdagangan dengan China pada tahun 1654. Seterusnya pedagang British pula tiba di China pada tahun 1639 untuk berdagang dengan China. Aktiviti perdagangan ini telah menyebabkan pengaliran keluar wang perak China dengan banyak dan ini telah mengakibatkan China berada di ambang inflasi.

21. Oleh itu di zaman Dinasti Ching, kerajaan China telah mula mengamalkan dasar pintu tertutup terhadap aktiviti perdagangan dan hanya membuka pelabuhan Canton sahaja untuk aktiviti perdagangan, itupun dikawal ketat oleh peraturan negara China.

22. Pedagang-pedagang Barat mula tidak berpuasa hati dengan dasar kerajaan China dalam aktiviti perdagangan ini kerana bertentangan dengan amalan prinsip atau konsep perdagangan bebas yang diamalkan oleh Barat. Wakil-wakil Barat terutama British telah dihantar untuk berunding dengan kerajaan China tetapi semuanya menemui kegagalan.

23. Kegagalan ini akhirnya telah mencetuskan ketegangan hubungan dan telah menbawa kepada Perang Inggeris-China 1 atau Perang Candu 1 pada tahun 1839 hinga tahun 1842.

sedutan nota daripada http://cikgustpm.blogspot.com/2012/06/masyarakat-maritim-di-jepun.html

Masyarakat Fedual England dan Jepun

Bab 1 Masyarakat Fedual
Nota
1. Feudalisme adalah satu bentuk kerajaan yang terbentuk di Eropah Barat pada abad ke-9 M, selepas perpecahan Empayar Charlemangne dan berlanjutan sehingga abad ke-13 Masihi. Sistem pemerintahan ini wujud apabila kuasa kerajaan jatuh ke tangan orang persendirian (Sivachandralingam, 1996: 66).

2. Secara umumnya Sistem Feudal (Feudalisme) bolehlah didefinisikan sebagai satu bentuk kerajaan, yang kuasa politiknya dikuatkuasakan secara tempatan oleh individu persendirian tetapi bukan oleh kerajaan pusat.

3. Menurut Gan shof (1944) Konsep Feudalisme pertama kali digunakan pada kurun ke- 17 bagi merujuk kepada sistem politik di Eropah pada zaman pertengahan yang memeperlihatkan hubungan yang saling memerlukan di antara tuan tanah (lords), orang biasa atau petani (Vassals) dan tanah (fiefs). Dengan kata lain, dalam sistem ini petani bekerja dan menjadi tentera untuk melindungi seorang bangsawan dan sebagai balasan mereka boleh mengusahakan tanah bangsawan tersebut. Walaupun istilahnya diambil daripada perkataan latin feodum atau feudum (fief), namun konsep feudalism dan sistemnya bukanlah satu sistem politik formal pada zaman itu.

4. Menurut Abdullah Zakaria et. al. ( 2003: 92 ) Pada asasnya, sistem ini memperlihatkan hubungan peribadi yang erat antara tuan tanah atau lord dengan Vassal atau pemegang tanah (petani) yang disyaratkan untuk memberi taat setia kepada lord. Satu pihak akan memberi perlindungan sementara satu pihak yang lain memberi perkhidmatan ketenteraan demi keselamatan raja. Mereka juga di beri gelaran tertentu sebagai mengakui sumbangan tersebut. Selain aspek ketenteraan dan keselamatan, pihak yang dikenali sebagai feudotari juga dikehendaki menyediakan keperluan tertentu termasuklah membekalkan buruh untuk sistem kerah. Hubungan ini menentukan kedua-dua pihak memperoleh faedah dan keuntungan bersama.

CIRI-CIRI MASYARAKAT FEUDAL
Menurut Francois-Louis Ganshof (1944) Sistem feudal sekurang-kurangnya mempunyai empat ciri penting iaitu hubungan bertimbalas antara seorang bangsawan (Vassal) kepada bangsawan lain yang lebih kuat atau lebih berpengaruh (lord), hak milik tanah atau sistem fief, ketenteraan dan kuasa pemerintahan serta hak-hak perundangan. Vassalage atau hubungan bertimbal balas yang di buat melalui persetiaan seseorang hulubalang sebagai pengikut (Vassal) kepada seorang hulubalang lain, yang di angkat sebagai tuan (lord) kepada Vassal tersebut disebabkan ia lebih kuat atau lebih berpengaruh. Hubungan ini merupakan satu bentuk hubungan persendirian yang bersifat kehormat kerana ia melibatkan perjanjian antara dua orang Individu yang terdiri daripada kelas hulubalang sahaja (Carl Stephenson, 1956:5-10). Melalui hubungan ini, seseorang Vassal dan lord akan diikat dengan fungsi dan tanggungjawab tertentu, iaitu memberikan ketaatan dan perkhidmatan, khususnya ketenteraan oleh Vassal kepada lordnya manakala lord pula akan berfungsi memberi penjagaan dan perlindungan kepada Vasalnya (Azmi Arifin, 2006:55).

Ciri yang kedua ialah fief iaitu sejenis harta feudal, kebiasaannya berupa tanah yang diberikan oleh seseorang lord kepada vassalnya bertujuan untuk mengikat persetiaan tersebut. Oleh kerana tujuan utama pemberian fief adalah untuk mendapatkan khidmat ketenteraan, maka fief juga dikenali sebagai military fief ( Azmi Ariffin,1992:55). Bagi sesetengah pengkaji, fief tidak semestinya berupa tanah sahaja. Sebaliknya pangkat, jawatan, kedudukan dan sebagainya boleh juga diberikan sebagai bentuk fief. Menurut Strayer (1953) Terdapat golongan vassal yang tidak mempunyai sebarang tanah (landless knights) merupakan satu fenomena biasa yang dapat ditemui di Eropah Barat pada kurun ke-11. Kewujudan golongan ini meskipun semakin berkurangan tetapi tidak pula lenyap pada kurun-kurun selepasnya. Tugas lord ialah menjaga pengikutnya seperti menampung segala keperluan sara hidup pengikutnya kerana Vassal merupakan hulubalang sepenuh masa dan tidak terlibat dalam aktiviti ekonomi. Di Eropah Barat pada zaman pertengahan, kegiatan ekonomi yang berkaitan perdangangan telah terjejas teruk akibat kekacauan, serangan luar dan peperangan. Keadaan ini menyebabkan raja-raja yang berfungsi sebagai Lord menghadapi masalah untuk membayar upah dalam bentuk wang. Ketika itu hanya terdapat dua cara yang membolehkan seseorang Lord melaksanakan tugasnya. Pertama seseorang Lord akan menempatkan seseorang vassal di istana-istananya dengan menyedaikan makanan, pakaian, senjata atau sebarang keperluan yang dikehendakinya. Kedua ialah dengan memberikannya tanah sebagai sumber pendapatan yang boleh menampung keperluan hidupnya. Cara ini amat popular kerana dapat menarik minat golongan hulubalang yang berkuasa kerana ia melibatkan jaminan dari segi kedudukan politik, ekonomi dan sosial. Seseorang lord yang tidak mampu mengikat kesetiaan seseorang vassal melalui pemberian tanah biasanya akan mendapati dirinya kehilangan sokongan dan pengaruh, manakala seseorang vassal yang tidak memiliki sebarang tanah sekalipun mempunyai taraf sosial yang lebih tinggi daripada seorang petani kaya, tidak mempunyai peranan dari segi politik dan pemerintahan. Dengan itu mereka akan berada pada kedudukan sosial yang lebih rendah dalam hierarki kelas hulubalang atau bangsawan yang menguasai tanah. Dari sudut ini kita bolehlah mengatakan pemilikan tanah akan menentukan status dan kedudukan seseorang pada zaman feudal di Eropah Barat.

Ciri Feudal yang ketiga ialah ketenteraan, iaitu wujudnya kelas-kelas hulubalang dan pelaksanaan khidmat-khidmat ketenteraan persendirian oleh vassal kepada lord sebagai balasan penerimaan fief. Oleh kerana tujuan asas hubungan vassalage-fief adalah mewujudkan satu organisasi ketenteraan yang efektif, maka perkhidmatan utama yang diberikan oleh vassal kepada lord ialah perkhidmatan ketenteraan, sedangkan perkhidmatan-perkhidmatan lain termasuklah yang melibatkan aspek-aspek ekonomi hanya merupakan perkhidmatan sampingan sahaja.Oleh sebab itu kebanyakan pengkaji sejarah feudalism bukan sahaja di Eropah Barat, malah di Jepun, China, India, Timur Tengah dan sebagainya berpendapat institusi feudal tidak mungkin wujud tanpa adanya aspek ketenteraan.Malah perkembangan feudalisme bukan sahaja dikaitkan dengan wujudnya organisasi ketenteraan semata-mata tetapi juga dikaitkan dengan kemunculan kelas-kelas tentera elit baru dan perkembangan teknologi peperangan. Misalnya perkembangan feudalism di Eropah Barat dikaitkan dengan kemunculan golongan knights dan chivalry, di Jepun kelas samurai dan knight-archer, cataphracts di Byzantium dan Iran, Chariot-fighters di Timur Tengah dan China dan sebagainya lagi (Strayer, 1953:9). Kemunculan kelas-kelas tentera elit baru yang lebih berdisiplin, terlatih dan mempunyai peralatan yang jauh lebih mahal telah menjadikan khidmat ketenteraan pada zaman feudal di eropah hanya mampu dimonopoli segolongan kecil kelas bangsawan sahaja, terutama dikalangan mereka yang menguasai tanah. Dari segi sosial perkembangan ini telah meningkatkan lagi jurang perbezaan yang sedia wujud antara kelas hulubalang dengan golongan rakyat biasa yang terikat dengan kegiatan pertanian.

Ciri yang keempat ialah pemilikan kuasa pemerintahan dan hak-hak perundangan persendirian yang dimiliki dan dilaksanakan oleh lord terhadap vassalnya. Kuasa pemerintahan ini juga meliputi penduduk bukan vassal yang berada di atas tanah-tanah kepunyaan lord, yang biasanya dilaksanakan oleh sebuah kerajaan. Selain menguasai tanah, seseorang lord juga turut berkuasa ke atas sumber ekonomi, pentadbiran, pelaksanaan undang-undang, mengutip cukai, mengawal institusi ketenteraan dan institusi kewangannya.Pemusatan kuasa ketenteraan, polittik dan ekonomi ditangan seseorang lord telah menggalakkan perkembangan wilayah-wilayah feudal yang berdaulat dan berautonomi. Jika berlaku pertelingkahan antara lord dengan raja, golongan vassal yang terikat dengan perjanjian feudal biasanya akan memberikan kesetiaan penuh kepada lord yang berada di atasnya berbanding kepada seseorang raja yang tidak mempunyai hubungan secara langsung dengannya. Walau bagaimanapun corak hubungan ini bergantung kepada taraf sosial (prestij) dan kedudukan raja itu sendiri. Jika baginda seorang pemerintah yang berpengaruh, maka kedudukan lord mungkin sedikit sebanyak dapat dikawalnya. Tetapi kebiasaannya pada zaman feudal, kedudukan seseorang raja amat lemah dan baginda selalunya tidak mempunyai kekuatan untuk mengawal pembesar feudal. Bagi Strayer (1953) aspek pemilikan kuasa dan hak-hak perundangan golongan lord ini merupakan ciri feudalisme yang paling asas dan terpenting. Walau bagaimanapun tanpa wujudnya hubungan vassalage-fief dan perkembangan aspek ketenteraan, pemilikan kuasa dan hak-hak perundangan itu tidak mungkin diperolehi. Berdasarkan keempat-empat ciri tersebut, feudalisme bolehlah ditakrifkan sebagai satu bentuk organisasi yang diwujudkan oleh satu bentuk hubungan persendirian yang diikat antara seseorang individu dari kelas hulubalang dengan individu daripada kelas hulubalang yang lain, iaitu antara lord dan vassal. Melalui ikatan vassalage - fief, seseorang vassal dikehendaki menjaga dan melindungi vassalnya.Susunan ini kemudiannya menjadi asas kepada keseluruhan struktur politik, pemerintahan, perundangan dan kemasyarakatan yang wujud dalam setiap wilayah atau negara yang dikawal oleh corak hubungan tersebut (Azmi Ariffin,2002: 59)

SUSUN LAPIS MASYARAKAT FEUDAL

1. Masyarakat feudal boleh dibahagikan kepada dua golongan iaitu golongan pemimpin dan golongan yang dipimpin.golongan pemimpin terdiri daripada raja, pembesar (bangsawan), dan golongan yang dipimpin ialah rakyat atau petani.

2. Raja mempunyai kuasa mutlak dan berada dikedudukan paling tinggi. Di bawah raja, terdapat beberapa lapisan para bangsawan yang menjadi vassalnya.

3. Bangsawan lapisan pertama yang memiliki tanah (fief) secara langsung daripada raja dikenali sebagai tenants-in-chief.Bangsawan lapisan pertama itu membahagikan fief mereka kepada bangsawan lapisan kedua dikenali sebagai subinfeudation.

4. Bangsawan lapisan kedua seterusnya mungkin membahagikan fief mereka kepada bangsawan lapisan ketiga.Setiap bangsawan berkuasa ke atas petani yang menetap di fiefnya.

5. Kelas paling bawah sekali ialah kaum tani (serf). Kaum tani semuanya miskin dan tidak berpelajaran. Hak-hak mereka sedikit tetapi tugas mereka banyak.Kerap kali mereka ini tidak diberi layanan yang memuaskan oleh tuan-tuan mereka.Hampir kesemua petani terdiri daripada golongan serf yang bertaraf antara orang bebas dengan hamba.Peluang untuk menjadi kaya dan masyhur dengan usaha sendiri sangat tipis. Seseorang hamba akan menjadi hamba seumur hidup dan anak-anak mereka juga akan menjadi hamba.

6. Sebagai kesimpulannya dalam pemerintahan bercorak feudal ini, wujud satu hierarki yang jelas antara feudatories dan subfeudatories di bawah pemerintahan seorang raja (Abdullah Zakaria, 2003:93). Struktur masyarakat feudal di Eropah bolehlah boleh digambarkan seperti rajah di bawah.





SISTEM FEUDAL DI ENGLAND

Latarbelakang Sistem Feudal di England Selepas kejatuhan Empayar Rom, menjelang tahun 800 Masihi, muncul satu institusi politik yang dikenali sebagai feudalisme di Negara- negara Eropah Barat termasuklah di England. Dalam sistem feudal terdapat satu susunan tanggungjawab yang kompleks dan obligasi di kalangan individu daripada kelas terbawah (serf) kepada kelas teratas iaitu raja. Setiap serf memberi sumpah kesetiaan kepada golongan yang lebih tinggi daripada mereka. Golongan yang lebih tinggi ini ialah knight (pahlawan), bangsawan (baron, duke,lord) dan akhir sekali ialah raja.Setiap bangsawan berjanji untuk melindungi mereka yang telah bersumpah untuk bersatu dengannya (Sivachandralingam, et.al.1999:93).

Dalam sistem feudal di England, kebergantungan sangat kuat antara seorang raja dengan golongan bangsawan (lord) yang dilantik sendiri oleh raja. Golongan bangsawan mempunyai hubungan secara langsung dengan raja. Jika seseorang raja memerlukan tenaga buruh untuk melakukan sesuatu kerja atau memerlukan tentera maka golongan petani (serf) akan dikerah untuk memenuhi keperluan tadi. Jadi dalam sistem feudal di England golongan petani (serf) menjadi subjek utama dan tidak mempunyai sebarang hak. Dalam sistem feudal, tanah menjadi elemen utama iaitu semua tanah adalah milik raja. Golongan bangsawan telah dikurniakan tanah (wilayah) oleh raja. Tanah menjadi punca kekayaan bagi raja dan golongan bangsawan.

Ciri-ciri Sistem Feudal di England
1. Hubungan bertimbal balas atau hubungan dua hala. Hubungan bertimbal balas (vassalage) yang dibuat melalui persetiaan seseorang hulubalang sebagai pengikut (vassal) kepada seseorang hulubalang lain yang diangkat sebagai tuan (lord) kepada vassal tersebut. Melalui hubungan ini, seseorang vassal dan lord akan diikat dengan fungsi dan tanggungjawab-tanggungjawab tertentu. Golongan vassal akan memberikan ketaatan dan perkhidmatan terutamanya dalam bidang ketenteraan kepada lordnya. Sebagai timbal balas golongan lord pula akan memberikan penjagaan dan perlindungan kepada vassalnya.

2. Harta feudal yang kebiasaannya berupa tanah. Ciri yang kedua iaitu harta feudal (fief), kebiasaannya berupa tanah yang menjadi punca kekayaan kepada tuan tanah iaitu raja dan golongan bangsawan. Tanah dikurniakan oleh raja kepada seseorang lord kemudian lord pula akan memberkan tanah kepada vassalnya bertujuan untuk mengikat persetiaan. Oleh kerana tujuan utama pemberian fief adalah untuk mendapatkan khidmat ketenteraan, maka fief juga dikenali sebagai military fief. Fief tidak semestinya berupa tanah sahaja, sebaliknya pangkat, jawatan, kedudukan dan sebagainya boleh juga diberikan sebagai bentuk fief. Pemberian fief berupa tanah dapat menarik minat golongan hulubalang yang berkuasa. Golongan serf tidak memiliki tanah, tetapi dibenarkan untuk bercucuk tanam dan menternak binatang di atas tanah yang dibenarkan oleh tuan tanah.

3. Ketenteraan. Ciri feudalisme yang ketiga ialah ketenteraan, iaitu wujudnya kelas-kelas hulubalang dan perlaksanaan khidmat-khidmat ketenteraan persendirian oleh vassal kepada lord sebagai penerimaan fief. Oleh kerana tujuan asas hubungan vassalage-fief adalah mewujudkan satu organisasi ketenteraan yang efektif. Perkhidmatan utama yang diberikan oleh vassal kepada lord ialah perkhidmatan ketenteraan. Perkhidmatan-perkhidmatan lain termasuklah yang melibatkan aspek-aspek ekonomi hanya merupakan perkhidmatan sampingan sahaja.Oleh kerana sistem feudal dikaitkan dengan aspek ketenteraan maka di Eropah atau England wujudnya golongan tentera elit seperti knights dan chivalry yang lebih berdisiplin, terlatih dan mempunyai peralatan yang mahal.

4. Kuasa pemerintahan dan hak-hak perundangan persendirian. Ciri feudalisme keempat ialah kuasa pemerintahan dan hak-hak perundangan persendirian yang dimiliki dan dilaksanakan oleh lord terhadap vassalnya serta ke atas rakyat yang berada di atas tanah-tanah kepunyaan lord. Selain menguasai tanah, seseorang lord juga turut berkuasa ke atas sumber ekonomi, pentadbiran, pelaksanaan undang-undang, mengutip cukai, mengawal institusi ketenteraan dan institusi kewangannya.

Struktur Masyarakat Feudal di England.

1. Masyarakat di England atau Eropah terbahagi kepada dua golongan iaitu pemimpin dan yang dipimpin. Golongan pemimpin terdiri daripada raja dan bangsawan. Susunan masyarakat feudalnya berbentuk piramid iaitu raja atau pemimpin utama terletak di lapisan paling tinggi. Di bawahnya terdapat beberapa lapisan para bangsawan yang menjadi pengikut raja atau vassal yang memberi kesetiaan kepada raja. Golongan bangsawan ini terbahagi kepada dua iaitu lapisan pertama dan kedua.

2. Golongan Bangsawan lapisan pertama yang memiliki tanah (fief) secara langsung daripada raja dikenali sebagai tenants-in-chief. Bangsawan lapisan pertama pula membahagikan fief mereka kepada bangsawan lapisan kedua. Proses ini dikenali sebagai subinfeudation . Bangsawan lapisan ke dua seterusnya membahagikan fief mereka kepada bangsawan yang lebih rendah daripadanya atau golongan petani. Setiap bangsawan (Vassal) berkuasa ke atas petani yang menentap dififnya. Hampir kesemua petani terdiri daripada serf yang bertaraf antara orang bebas dengan hamba (Ranjit Sing Malhi, 1993: 91).

3. Golongan yang dipimpin pula merupakan golongan rakyat biasa yang menetap di wilayah kekuasaan golongan bangsawan. Rakyat biasa ini dikenali sebagai serf iaitu golongan bukan hamba tetapi tidak bebas sepenuhnya. Mereka terikat kepada pemimpin atau tuan mereka dan tidak bebas bergerak atau berpindah dari satu tempat ke tempat lain. Mereka bergantung kepada golongan bangsawan untuk mendapatkan mata pencarian. Terdapat juga petani bebas yang menyewa tanah daripada golongan bangsawan ( Ranjit Sing Malhi, 1993: 91).

4. Selain itu terdapat golongan paderi yang merupakan satu kelas yang berasingan. Sebilangan besar daripada mereka terdiri daripada daripada golongan bangsawan yang mempunyai tanah sebagai Vassal dalam sistem feudal (Ranjit Singh Malhi, 1993:91).Menurut Ferguson dan Brunn, pada abad ke-12 dan ke-13, hampir 1/3 daripada tanah yang boleh digunakan di Eropah barat di kawal oleh greja. Bishop, abot dan pegawai-pegawai yang memegang jawatan penting dalam gereja biasanya adalah golongan bangsawan.Justeru itu mereka sering campur tangan dalam pemilihan jawatan bishop dan jawatan-jawatan lain untuk salah seorang dari ahli keluarga mereka. Akibatnya pegawai-pegawai greja terdiri daripada golongan yang mementingkan meterial dan mempunyai dua tanggungjawab (Sivachandralinggam, 1996:70)


.

MASYARAKAT FEUDALISME DI JEPUN

PENGENALAN
Sebelum abad ke-16 dan 17, pemerintahan feudal Jepun di bawah Keshogunan Kamakura (1185-1333). Pada tahun 1192, Minamoto no Yoritomo telah dilantik oleh Maharaja Go-Saga menjadi Shogun. Yoritomo telah menjalankan pemerintahannya di bandar tepi laut Kamakura dipanggil kerajaan Bakufu yang dikenali pemerintahan Keshogunan Kamakura. Shogun Yoritomo mula mengasingkan pemerintahan Jepun daripada Kyoto. Semasa Maharaja Go-Daigo, pemerintahan Keshogunan Kamakura telah diambil alih oleh Keshogunan Ashikaga pada tahun 1336-1573 selama 237 tahun. Pemerintahan Shogun Ashikaga Yoshimitsu dijalankan tanpa merujuk kepada maharaja. Bermula tahun 1603, pemerintahan di Jepun telah bermulanya era Keshogunan Tokogawa berpusat di Edo yang diasaskan oleh Shogun Tokogawa Ieyasu. Shogun Tokogawa telah menguasai kesemua aspek pemerintahan seperti pengawalan terhadap agama, ekonomi, golongan bangsawan, cukai dan sebagainya. Era Tokogawa telah membawa keamanan dan kemakmuran kepada negara dan rakyatnya seramai 31 juta orang selama 265 tahun.



CIRI-CIRI SISTEM FEUDAL DI JEPUN

1.Sistem feudal juga dapat dilihat dengan jelas di Jepun, iaitu maharaja yang berada di kemuncak struktur pemerintahan mempunyai kuasa yang tidak terhad ke atas segala aspek di bawah pemerintahannya termasuklah tanah. Hakikat ini dapat dilihat pada zaman Keshogunan Kamakura antara tahun 1185 hingga 1333 (abad ke-12-14), di mana keluarga Minamoto menjadi keluarga yang penting di Jepun. Keluarga ini mampu membekalkan keperluan keselamatan yang diperlukan oleh maharaja dan mereka turut menguasai tanah dan segala penghasilannya.

2.Sebagai ketua kepada keluarga Minamoto, Yoritomo misalnya telah melantik mereka yang setia kepadanya mewarisi jawatan jito atau pengurus tanah dan bertanggungjawab mengutip cukai. Shugo merupakan pegawai yang bertanggungjawab memastikan agar semua cukai di bayar walaupun kekerasan terpaksa digunakan. Sistem sebegini terus kekal sehingga zaman Meiji sehingalah beberapa perubahan besar dilakukan.

3.Menurut Abdullah Zakaria Ghazali (2003:101) dalam usaha melihat sejarah sistem Feudal di Jepun, maka zaman Kamakura tidak harus ditinggalkan kerana zaman ini merupakan akar kepada keberlangsungan sistem feudal yang hanya tamat pada pertengahan abad ke-19. Menurutnya lagi, sistem feudal tumbuh subur di Jepun kerana kewujudan estate persendirian yang dikenali sebagai syo atau syoen. Pertumbuhan estate-estate persendirian ini telah dipercepatkan oleh kemerosotan golongan aristokrat dan kebangkitan golongan perwira (buke).Golongan ini memberi taat setia kepada Kamakura dan hasil daripada ketaatsetiaan ini menyebabkan mereka mendominasi jawatan jito serta shugo. Gabungan organisasi inilah yang menjadi asas kepada kemunculan sistem feudal di Jepun.

4.Sehubungan itu kita dapat melihat sistem feudal di Jepun telah melahirkan dua golongan yang saling bergantung antara satu sama lain, iaitu golongan birokrasi pemerintahan dan golongan tentera. Golongan birokrasi pemerintahan termasuklah tuan-tuan tanah atau daimyo yang bertanggungjawab menyumbangkan sebahagian daripada hasil tanah kepada maharaja.

5.Selain itu perjalanan sistem feudal di Jepun agak unik dan berbeza dengan negara lain. Ini disebabkan wujud keterikatan yang kuat antara golongan daimyo dengan tentera dan petani , manakala maharaja tidak mempunyai sebarang peranan. Kemunculan golongan tentera khusus (profesional) di Jepun begitu berpengaruh dalam menentukan hala tuju pemerintahan. Golongan daimyo merupakan kelompok yang sangat berkuasa di Jepun dan kuasanya dikatakan mengalahkan kuasa maharaja.

6.Golongan tentera mempunyai kebolehan yang besar dalam peperangan dan digunakan oleh golongan bangsawan sama ada untuk mempertahankan hak milik mereka atau menjaga keselamatan tuan-tuan mereka. Kekuatan ketenteraan ini menjadi tulang belakang kepada kebangkitan daimyo di Jepun sehingga maharaja tidak berfungsi sebagaimana sepatutnya.

STRUKTUR MASYARAKAT FEUDAL DI JEPUN

1.Struktur sistem feudal di Jepun berbentuk piramid yang terdiri daripada golongan pemerintah dan golongan diperintah. Golongan pemerintah adalah Maharaja, Shogun dan Daimyo..

2.Golongan diperintah terdiri daripada samurai, petani, atisan (tukang) dan saudagar. Sistem ini dapat dilihat dengan jelas semasa pemerintahan Shogun Tokugawa. Dalam hierarki pemerintahan di Jepun Maharaja menduduki lapisan teratas. Namun pada abad ke16 dan 17 di bawah pemerintahan Shogun Tokugawa, maharaja Jepun tidak mempunyai kuasa untuk memerintah. Baginda hanya menjadi lambang perpaduan rakyat dan boneka sahaja. Maharaja dikatakan dari keturunan dewi matahari (amaterasu). Maharaja dianggap pemerintah keduniaan dan kerohanian. Baginda ditempat di Kyoto iaitu bandar diraja yang sentiasa dikelilingi oleh pegawai istana (kuge). Maharaja hanya memerintah di Kyoto sahaja yang dikenali sebagai kerajaan Mikado (Kerajaan Maharaja).

3. Shogun merupakan golongan bangsawan yang berada dihaeiraki yang ke-2. Kuasa memerintah yang sebenar berada di tangan Shogun Tokugawa. Shogun menjalankan tugas atas nama maharaja melalui dasar pecah dan perintah. Hal ini dilakukan supaya kuasa dan kedudukan Shogun terjamin. Shogun telah membahagikan kawasan pemerintahan berdasarkan golongan bangsawan atau Daimyo yang menyokong dan menentangnya. Daimyo yang menyokong Shogun akan diberi tanah manakala bangsawan yang menentangnya ditempatkan di kawasan yang akan dikawal oleh sekutu Tokugawa. Kerajaan Tokogawa ini di kenali sebagai Kerajaan Bakufu (ketenteraan) yang berpusat di Edo.

4.Daimyo merupakan golongan bangsawan yang mempunyai peranan penting dalam pentadbiran Tokugawa. Mereka terbahagi kepada tiga kumpulan iaitu daimyo Fudai, Daimyo Shimpan dan Daimyo Tozama. Daimyo Fudai ialah ahli keluarga Shogun Tokugawa dan telah dikurniakan tanah yang berhampiran kediaman Shogun. Daimyo Shimpan terdiri daripada pelbagai cabang keluarga Tokugawa iaitu membentuk keluarga Kii, Owari dan Mito. Mereka diberi tanah tidak jauh daripada shogun. Daimyo Tozama meruapakan daimyo yang memusuhi shogun iaitu terdiri daripada puak-puak suku barat (Satsuma, Hizan, Toza dan Chosu). Mereka telah ditempatkan jauh daripada shogun untuk mengelak ancaman daripada mereka.

5.Samurai merupakan kelas pahlawan (tentera) yang berada bi bawah golongan daimyo dan paling atas golongan di perintah. Mereka mempunyai kedudukan istimewa iaitu mempunyai nama keluarga dan membawa dua bilah pedang. Samurai berfungsi untuk menjaga keamanan negara dan keselamatan shogun serta daimyo. Mereka tidak dibenarkan melakukan kerja lain. Jumlah golongan samurai kira-kira 400,000 orang iaitu kira-kira 6% daripada jumlah penduduk Jepun. Golongan samurai terbahagi kepada taraf seperti tinggi, sederhana dan rendah. Samurai bertaraf tinggi tidak ramai bilangannya dan dibenarkan memilki tanah. Samurai sederhana merupakan samurai berkuda manakala kelas rendah adalah samurai berjalan kaki. Ketika masa aman, samurai akan melakukan kerja lain seperi mengurus kewangan, mentadbir ladang, menjaga kebun dan menjadi utusan.

6.Dalam kalangan rakyat biasa, petani (nomin) menduduki tempat yang tertinggi dan dianggap golongan yang mulia di Jepun. Hal ini kerana mereka merupakan pengeluar beras yang menjadi bahan makan rakyat Jepun dan sebagai balasan mereka diberi upah hanya secukup makan sahaja kerana hasil beras untuk negara. Jepun telah menjalankan dasar tutup pintu ini menyebabkan rakyat hanya bergantung kepada beras yang dikeluarkan oleh petani sahaja.

7.Kelas tukang-tukang mahir (artisan) berada dibawah petani. Mereka mahir dalam pembuatan pedang samurai, menenun kain, alatan tembaga, besi dan alat-alat lain yang berguna. Mereka diberi gaji yang baik dan diberi rumah yang baik. Mereka dibenarkan menggunakan pedang. Kelas pedagang (chonin) terletak dibawah artisan. Mereka dipandang rendah dan tidak dibenarkan berlaku mobiliti sosial. Namun keadaan aman telah menyebabkan ekonomi berkembang dan para pedagang telah berjaya mengumpul harta yang banyak. Mereka kemudian telah memperbaiki status diri mereka. sedutan nota daripada blog http://cikgustpm.blogspot.com/2012/06/masyarakat-maritim-di-jepun.html