Peristiwa

Wednesday, June 13, 2012

1.2.Masyarakat Agraria Belanda dan China

1.2.Masyarakat Agraria ( Belanda Dan China)

Konsep/Definisi Agraria

Masyarakat agraria merupakan masyarakat yang menjalankan kegiatan ekonomi berasaskan kepada pertanian iaitu bercucuk tanam dan menternak binatang. Jenis-jenis tanaman utama ialah padi sawah, padi huma, ubi taro, dan keladi; tanaman bijirin pula ialah gandum, barli, oat, kubis, kekacang dan sebagainya. Selain itu, masyarakat juga menjalankan aktiviti berburu, mengutip hasil hutan dan menangkap ikan pada peringkat awal. Penempatan mereka terbentuk di sekitar kawasan yang subur seperti lembah-lembah sungai, kawasan berbukit, serta kawasan yang mempunyai sistem saliran yang baik. Mereka juga mempunyai kemahiran menghasilkan makanan sendiri dengan pertanian pindah sehingga mengusahakan pertanian tetap. Pada masa yang sama masyarakat agraria mempunyai hubungan dengan masyarakat maritim dan saling bergantungan.Masyarakat agraria di China menjalankan kegiatannnya atas arahan golongan pembesar.

Manakala di Eropah telah berlaku perubahan politik dan ekonomi yang pesat terutama selepas keruntuhan sistem feudal sehingga telah terbentuk beberapa buah negara bangsa yang baru seperti Portugal, Sepanyol, England dan Belanda. Pentadbiran berpusat ini telah dikuasai oleh raja yang berkuasa mutlak dan pentadbiran ini telah membolehkan kerajaan menyeragamkan sistem pemerintahan. Penyeragaman pentadbiran ini telah memberi kesan yang besar kepada sistem ekonomi yang dijalankan.

Pada abad ke-16 dan 17, negara Belanda dan China mengamalkan ekonomi mekantilisme iaitu kerajaan akan campur tangan dalam kegiatan ekonomi bagi tujuan mengukuhkan lagi kekuasaan politik dan kekayaan negara. Campur tangan kerajaan ini dapat memastikan perkembangan ekonomi selaras matlamat kerajaan.

Terdapat beberapa unsur di dalam pengamalan ekonomi mekantilisme yang dijalankan oleh negara Belanda dan China seperti unsur nasionalisme, paternalisme dan imperialsme. Bagi negara Belanda masyarakatnya mengamalkan unsur paternalisme dan imperialisme. Manakala negara China pula mengamalkan unsur nasionalisme dan paternalisme.

Unsur nasionalisme merupakan sesebuah negara atau masyarakat menjalankan ekonomi yang kendiri iaitu tidak bergantung kepada negara lain untuk memenuhi keperluannya. Unsur paternalisme pula memperlihatkan kerajaan memainkan peranan penting dalam mengatur kegiatan ekonomi, sosial dan politik. Manakala unsur imperialisme sangat penting dalam ekonomi mekantalisme iaitu negara tersebut perlu mempunyai tanah jajahan diseberang laut yang mampu memenuhi keperluan dalam negara. Dengan mempunyai unsur-unsur inilah maka negara Belanda dan China dapat memperkembangkan ekonomi agraria sepanjang abad ke-16 dan 17

 

 

MASYARAKAT AGRARIA DI BELANDA



1. Ekonomi negara Belanda mula berlaku perkembangan terutama selepas Belanda berjaya bebas daripada cengkaman kuasa Sepanyol pada tahun 1585. Taraf hidup masyarakat Belanda semakin meningkat apabila berlaku revolusi pertanian dan revolusi perkapalan telah menjadikan Belanda sebagai kuasa perdagangan di Eropah serta menjadikan pelabuhan Amsterdam sebagai pelabuhan yang sibuk pada abad ke-16 dan 17.

2. Masyarakat petani terutama disebelah utara Belanda telah mengusahakan kegiatan pertanian secara kecil kecilan dan secara sistem pertanian padang terbuka. Hasil pertanian ini untuk pasaran tempatan di bandar-bandar negara Belanda sahaja.

3. Dalam sistem ini, tanah pertanian dibahagi kepada bidang tanah iaitu setiap bidang tanah dibahagi kepada beberapa lajur tanah secara memanjang untuk diusahakan oleh petani. Petani hanya akan mengusahakan beberapa bidang tanah sahaja dan sebidang lagi akan dibiarkan kosong atau tanah rang sahaja untuk mengembalikan kesuburan tanah bagi musim akan datang.
4. Pada abad ke-17, revolusi pertanian yang berlaku telah mendorong pertambahan tanah pertanian kepada 36 ribu ekar sekitar tahun 1590 hingga tahun 1615, begitu juga dengan masyarakat petani dan penggunaan kuda dalam pertanian turut bertambah. Kegiatan dan pengeluran hasil pertanian semakin meningkat apabila kerajaan Belanda berjaya menambak laut untuk dijadikan kawasan pertanian. Penggunaan teknologi kincir angin semakin merancakkan lagi kegiatan pertanian di Belanda kerana kawasan tanah tinggi boleh disalurkan air untuk pertanian.
5. Masyarakat agraria Belanda menggunakan kaedah tanaman giliran antara tanaman ubi-ubian, kekacang dan bijirin. Kaedah ini akan mengembalikan kesuburan tanah dan meningkatkan lagi hasil pengeluaran pertanian. Tumpuan utama masyarakat agraria Belanda ialah tanaman bijirin seperti gamdum, barli, oat yang menjadi sumber utama Belanda. Tanaman lain pula yang diusahakan ialah kobis, kekacang, jagung dan bunga-bungaan. Hasil-hasil ini akan dieksport keluar negara.

6. Selain itu, masyarakat agraria Belanda juga mengusahakan kegiatan penternakan binatang terutama lembu tenusu untuk pengeluaran hasil tenusu. Belanda telah menjadi pusat utama penternakan lembu ini. Lembu-lembu daging pula diternak untuk disembelih dan dieksport ke kawasan lain di Belanda antara tahun 1500 hingga tahun 1660.

7. Masyarakat agraria Belanda di desa turut mengusahakan industri tekstil terutama di Flanders dan Brabant. Mereka mengeluarkan pakaian berasaskan kain bulu dan linen. Masyarakat di bandar pula, menggunakan mesin untuk mewarnakan dan memutihkan kain kemudian dipasarkan sehingga tahun 1568.

8. Pada abad ke-17, industri tekstil di Leiden semakin berkembang terutama dalam pengeluaran kain-kain jenis woolen, says, fustians dan camlets. Perkara ini telah mendorong pertambahan pengeluaran kain sehingga meningkat sebanyak 130 ribu pada tahun 1660-an. Selain Leiden, Haarlem telah menjadi bandar pengeluran kain linen utama untuk dipasarkan ke Eropah.

9. Hampir 1/5 masyarakat agraria Belanda telah mengusahakan kegiatan menangkap ikan terutama di kawasan Holland dan Zealand merupakan perairan yang kaya dengan ikan herring berkualiti tinggi. Pada abad ke-17, masyarakat Belanda telah menangkap ikan dari Laut Utara hingga ke Selat Inggeris dengan menggunakan kapal-kapal yang bersaiz besar sehingga menjangkau 30 tan beratnya. Mereka berjaya mengatasi nelayan Jerman untuk menguasai pasaran ikan di kawasan Baltik. Mereka akan berada di laut selama 8 minggu dengan anak kapal antara 10 hingga 15 orang.

10. Masyarakat agraria Belanda juga terkenal dalam industri pembinaan kapal yang terbaik di Eropah iaitu bermutu tinggi, tahan lasak, dan boleh memuatkan muatan yang lebih. Industri ini telah mendapat kepercayaan masyarakat pedagang di Eropah pada abad ke-17. Sekitar tahun 1630-an, Belanda telah berjaya membina 2 500 buah kapal dan separuhnya untuk kegunaan di Eropah seperti negara England, Perancis dan Sepanyol. Perkembangan industri perkapalan ini telah mendorong perkembangan perdagangan Belanda terutama pada tahun 1648.

11. Kapal-kapal Belanda telah digunakan untuk mengangkut gandum dan barli dari Poland dan Timur Prusia, seterusnya ke Perancis, Sepanyol dan Mediterranean. Kapal-kapal ini juga turut digunakan untuk mengangkut besi dari Sweden dan barangan perdagangan dari Rusia, Timur Hindia, Brazil, Jepun, Asia Tenggara dan Kepulauan Barat Afrika. Perkembangan ini membolehkan Belanda menguasai perdagangan Eropah pada abad ke-16.

12. Pada abad ke ke-16, hubungan antara pelabuhan Antwerp di Belanda dengan pelabuhan Lisbon di Portugal amat rapat. Apabila pelabuhan Antwerp jatuh ke tangan Sepanyol pada tahun 1585, aktiviti perdagangan telah berpindah ke pelabuhan Amsterdam dan telah muncul sebagai pusat perdagangan yang baru. Akibat pemberontakan oleh orang Belanda di bahagian utara telah mendorong Raja Phillip II menutup pelabuhan Lisbon dan menghalang kapal-kapal dari Belanda memasuki pelabuhan Lisbon.

13. Keadaan ini telah menyebabkan pedagang-pedagang Belanda mencari sendiri barangan mereka sehingga mendorong Belanda menawan Kepulauan Rempah di Asia Tenggara. Tujuan Belanda bertindak demikian untuk menguasai perdagangan di Timur, menghapuskan monopoli Portugal dan Sepanyol, mengumpul kewangan untuk menentang kekuasaan Sepanyol di Belanda dan menawan pusat perdagangan Portugal di Timur.

14. Pada tahun 1596, Belanda di ketuai oleh De Houtman telah sampai ke pelabuhan Bantam yang kaya dengan lada hitam, kemudian singgah di Jakarta, Pulau Madura, Bali dan kembali semula ke Amsterdam pada tahun 1597.

15. Pada tahun 1598, 22 buah kapal dari Belanda menuju ke Timur dan telah meningkat kepada 60 buah kapal menuju ke Kepulauan Rempah di Timur antara tahun 1595 hingga tahun 1601. Mereka telah mengadakan perjanjian dengan pemerintah tempatan di Kepulauan Rempah di Asia Tenggara dengan memberi perlindungan kepada pemerintah tempatan seperti dengan Pulau Ambon (1600) dan Pulau Banda (1602). Sebagai balasan Belanda dapat memonopoli perdagangan buah pala.

16. Bagi menjamin dan mengukuhkan kedudukan Belanda di Kepulauan Rempah ini, maka pada tahun 1602, parlimen Belanda bersetuju menubuhkan Syarikat Hindia Timur Belanda atau Vereenigde Oostindische Compagine (VOC). Dengan bermodal sebanyak 6½ juta guilder. Pengusaaan ini telah membolehkan Belanda mengawal sepenuhnya perdagangan import seperti lada hitam, bunga cengkih, buah pala, kulit kayu manis dan bunga lawang di Eropah. Pada tahun 1690, VOC telah memperkenalkan tanaman kopi di Jawa setelah berjaya dalam tanaman rempah.

17. Pada awal abad ke-17, usahawan atau pemodal Belanda yang berjaya telah menceburi perniagaan insuran dan perdagangan mata wang asing serta turut memberi pinjaman kepada negara Denmark, Austria dan Sepanyol. Sebagai contoh, usahawan atau pemodal Nouis de Geer telah mengusahakan kilang senjata di Sweden dan ada usahawan Belanda memonopoli perdagangan eksport di Rusia.

18. Bank Amsterdam adalah bank yang paling berjaya di Eropah iaitu antara tahun 1611 hingga tahun 1701, deposit Bank Amsterdam meningkat daripada 1 juta florin kepada 16 juta florin. Perkembangan perdagangan luar negara, industri dan pertanian di Belanda telah menarik kedatangan pedagang luar dan tempat ke Amsterdam pada tahun 1609. Perkembangan dan pengukuhan perdagangan dan mata wang telah meningkatkan perdagangan antarabangsa di Amsterdam.

19. Penubuhan bank dan badan kewangan yang lain telah meningkatkan urusan perdagangan seperti Bank Amsterdam. Penubuhan bank ini telah memudahkan lagi pemindahan wang dan pinjaman kepada pedagang sebagai pelaburan jangka panjang. Keadaan ini telah meningkatkan keupayaan pelabuhan Amsterdam dalam perdagangan antarabangsa. Kerajaan Belanda telah berusaha menaik taraf pelabuhan Amsterdam seperti mendalamkan lagi pelabuhan Amsterdam, menyediakan lebih banyak gudang menyimpan barang dagangan, menyediakan kemudahan asas lain dan menghubungan pelabuhan dengan jalan darat yang lain.

20. Usaha kerajaan Belanda ini telah memberi peluangan pekerjaan kepada masyarakat tempatan dan ekonomi Belanda juga mencapai tahap kegemilangannya pada abad ke-17.

MASYARAKAT AGRARIA DI CHINA

1. Negara China mempunyai keluasan hampir 9.6 juta km persegi tetapi tanah yang sesuai untuk kegiatan pertanian hanyalah 15% sahaja. Kawasan lain terdiri daripada pergunungan dan gurun di sebelah barat dan utara China. Negara China juga sebahagian besarnya berada dalam kawasan hawa sederhana mengalami perubahan iklim dari kawasan tropika ke kawasan sejuk. Walaupun berkeadaan demikian, negara China masih lagi mampu mengeluarkan makanan daripada perlbagai jenis tanaman untuk kegunaan masyarakat dan untuk dieksport ke negara luar.

2. Pada zaman pemerintahan Dinasti Ming dan Qing, negara China masih dipanggil masyarakat agraria iaitu meliputi 85% daripada keseluruhan penduduk dan tinggal di desa. Masyarakat agraria China tertumpu di kawasan timur laut China dengan Mongolia. Kawasan ini mempunyai dataran loes yang subur disepanjang Sungai Kuning. Di sebelah selatan pula terdapat pula Sungai Yangtze (sungai terbesar di China) yang banyak memberi sumbangan kepada masyarakat agraria di China.

3. Tanah di negara China semua dimiliki oleh maharaja dan dikurniakan kepada golongan bangsawan atau pembesar (tuan tanah). Tanah merupakan satu aset yang amat berharga yang dapat menentukan status sosial seseorang itu. Tuan-tuan tanah ini akan memberikan kepada golongan rakyat masyarakat agraria untuk diusahakan.

4. Tanah ini akan diusahakan dari satu generasi ke satu generasi secara bersama dan tidak mengutamakan hak individu. Masyarakat agraria China mengusahakan tanah pertanian secara tradisional dengan menggunakan peralatan lama dan najis binatang untuk menyuburkan tanah. Namum, hasil yang diperolehi masih cukup untuk menampung keperluan harian mereka tetapi tidak dapat menyimpan.

5. Walaupun negara China mempunyai tanah yang subur dan masyarakat agrarianya cekap bercucuk tanam, namum mereka masih hidup dibelenggu dengan kemiskinan.

6. Tanaman utama yang diusahakan oleh masyarakat agraria di China ialah padi sawah yang banyak ditanam di kawasan lembah Sungai Yangtze dan Sungai Kuning. Tanaman lain turut diusahakan seperti menanam kapas, tebu, teh, gandum, barli, sekoi dan bijirin lain. Masyarakat China yang tinggal di tanah tinggi Utara China, mereka menanam padi huma, sekoi dan kekacang terutama di sekitar Sungai Heilongjiang.

7. Masyarakat agraria China mula mengalami perubahan di zaman Dinasti Ming apabila wujudnya hubungan luar dengan negara-negara luar seperti selatan India, Sri Lanka, Hormuz, dan persisir pantai timur Afrika. Hubungan ini telah meningkatkan aktiviti perdagangan China dengan pedagang-pedagang dari luar terutama di pelabuhan Canton.

8. Kedatangan pedagang luar ini telah menyebabkan negara China menerima pelbagai aspek dari tamadun luar. Perkara ini secara langsung telah membawa banyak perubahan dalam bidang pertanian dan ini akan meningkatkan lagi ekonomi negara China. Seterusnya, membolehkan negara China menikmati kemakmuran dan kekayaan dalam pertambahan penduduk dan bidang pertanian.

9. Semasa pemerintahan Dinasti Ming, China telah berusaha untuk meningkatkan hasil pertanian mereka dengan memperkenalkan sistem pengairan, mengamalkan tanaman giliran mengikut musim, memperkenalkan peralatan pertanian yang baru, meningkatkan keluasan kawasan pertanian dan penggunaan baja.

10. Penanaman padi jenis baru telah diperkenalkan dari selatan Vietnam yang boleh ditanam dua kali setahun dan tidak memerlukan air yang banyak. Ini telah memboleh padi ini di tanam di kawan tanah tinggi yang kekurangan air. Tanaman baru yang lain turut diperkenalkan seperti tanaman kekacang, ubi kentang manis, barli dan jagung yang dibawa dari Asia Barat. Tanaman baru ini telah meningkatkan lagi hasil pengeluaran pertanian masyarakat agraria.

11. Masyarakat agraria China mengamal pengkhususan dalam pengeluaran barangan mengikut daerah atau kawasan seperti tebu dikeluarkan di daerah Kwangtung, Fukien dan Szechwan; teh dan daun mulberry untuk makanan ulat sutera di Chekiang dan selatan Kingsu; kapas di Kinagsu dan daerah utara; perlombongan di Yunnan; perusahaan kain kapas, kain sutera, dan pakaian diusahakan oleh petani di Kiangnan, dan hasil hutan (kayu balak) di Manchuria.
12. Seterusnya negara China semakin berkembang ekonominya terutama dalam pembuatan porselin, pembuatan kertas, sutera dan kapas di bandar Nanjing dan Beijing.

13. Industri porselin memberi sumbangan dalam pendapatan negara China dan bandar Kiangsi muncul sebagai pusat pengeluran porselin utama. Soochow pula sebagai bandar pusat industri tekstil dan Sungkiang menjadi pusat pengeluran kain kapas. Tanaman kapas menjadi tanaman penting di zaman Dinasti Ming. Industri kraf tangan dan tenunan turut menyumbang kepada ekonomi masyarakat agraria di China.

14. Semasa pemerintahan Dinasti Ching (1644-1911), kerajaan China hanya membiarkan ekonomi berada di tangan golongan bangsawan. Golongan ini hanya mengawasi sistem pao-chia (tanggungjawab kolektif) untuk mengawal kaum petani. Manakala di zaman Kang-hsi, ekonomi China berlaku pemulihan dan hasil pengeluaran pertanian bertambah. Sebagai contoh pada tahun 1661, kawasan pertanian seluas 549 juta ekar (mu) meningkat kepada 724 juta ekar (mu) pada tahun 1725 dan 781 ekar pada tahun 1766.

15. Masyarakat agraria China juga turut menjalankan kegiatan perusahaan pertukangan secara perkongsian modal dan tanggungjawab untuk memajukan perusahaan ini. Mereka akan bergabung mengikut wilayah menjadi satu kesatuan peniaga yang akan disertai oleh kesatuan peniaga, kesatuan penenun, kesatuan peniaga bank, kesatuan peniaga pakaian, dan kesatuan peniaga emas. Persatuan berperanan sebagai badan yang akan mengawal harga barangan, menatapkan nilai barangan, dan menyelesaikan segala masalah atau pertikaian antara ahli-ahli persatuan.

16. Masyarakat agraria China turut menjalankan ekonomi perdagangan walaupun kegiatan ini dianggap hina dan rendah tarafnya di negara China. Namum kegiatan ini sebenarnya memberi pulangan yang cukup besar kepada negara dan masyarakatnya.

17. Aktiviti perdagangan berkembang dengan baik kerana adanya sistem pengangkutan yang baik iaitu sungai sebagai jalan perhubungan yang utama seperti Sungai Yangtze, Sungai Peiho dan Sungai Kuning. Manakala terusan turut dibina untuk merancakkan lagi aktiviti perdagangan seperti Terusan Besar (menganjur dari Peking ke Hangchow di selatan Sungai Yangtze) dan terusan-terusan kecil di bahagian tengah dan selatan China. Sistem perhubungan darat masih primitif iaitu masyarakat masih menggunakan unta dan keldai sebagai pengangkutan utamanya.

18. Aktiviti perdagangan China bukan hanya tertumpu kepada perdagangan dalam negara dan kawasan Asia sahaja tetapi turut berlaku dengan pedagang dari negara Barat terutama di abad ke-16 dan 17. Kekayaan negara China dengan hasil perlombongan arang batu, besi, tembaga, bijih timah, timah hitam, antimoni dan perak telah menarik ramai pedagang dari Barat ini. Pada abad ke-16, pedagang dari Portugal, Sepanyol, Belanda, Rusia dan British telah mula berdagang dengan China.

19. Pada tahun 1532, aktiviti perdagangan dengan pedagang Portugal telah bermula di pelabuhan Macau dan dibenarkan berdagang di Canton pada masa-masa tertentu sahaja dengan dipantau ketat oleh pembesar China. Melalui aktiviti perdagangan ini China dapat membeli barangan perak dari Portugal dan pedagang Portugal pula membeli sutera untuk dibawa ke Eropah.

20. Pada tahun 1575, pedagang Sepanyol telah tiba di China dan diikuti boleh pedagang Belanda pada tahun 1604. Rusia pula telah menghantar wakilnya untuk menjalinkan hubungan perdagangan dengan China pada tahun 1654. Seterusnya pedagang British pula tiba di China pada tahun 1639 untuk berdagang dengan China. Aktiviti perdagangan ini telah menyebabkan pengaliran keluar wang perak China dengan banyak dan ini telah mengakibatkan China berada di ambang inflasi.

21. Oleh itu di zaman Dinasti Ching, kerajaan China telah mula mengamalkan dasar pintu tertutup terhadap aktiviti perdagangan dan hanya membuka pelabuhan Canton sahaja untuk aktiviti perdagangan, itupun dikawal ketat oleh peraturan negara China.

22. Pedagang-pedagang Barat mula tidak berpuasa hati dengan dasar kerajaan China dalam aktiviti perdagangan ini kerana bertentangan dengan amalan prinsip atau konsep perdagangan bebas yang diamalkan oleh Barat. Wakil-wakil Barat terutama British telah dihantar untuk berunding dengan kerajaan China tetapi semuanya menemui kegagalan.

23. Kegagalan ini akhirnya telah mencetuskan ketegangan hubungan dan telah menbawa kepada Perang Inggeris-China 1 atau Perang Candu 1 pada tahun 1839 hinga tahun 1842.

sedutan nota daripada http://cikgustpm.blogspot.com/2012/06/masyarakat-maritim-di-jepun.html

3 comments:

  1. Waa. trma ksih krna mnulis blog ini.....ini mrpakn 1 rjukan wat sa.. krna wat msa ni d skul kmi blm lg dapt pa2 bku rjukan sjrah bg pngall p"tmaa
    .. ^__^

    ReplyDelete
  2. kalau soalan mintak pebandingn masyarakt agraria di belanda dan china,, ?? mcm mane ?? point yg nak kemukakn, ??

    ReplyDelete
  3. Tq cikgu.. Selamat Hari Guru... Satu Aspirasi... Satu matlamat...

    ReplyDelete